Perkhidmatan Dalforce Dalforce

Anggota-anggota Dalforce menggunakan pakaian awam biasa, dengan kasut kanvas berwarna putih. Mereka menggunakan tanda pengenalan berupa ikatan kain putih di kepala. Kebanyakan daripada mereka dilengkapkan dengan senapang jenis Lee-Enfield dari Perang Dunia Pertama dan bukannya senapang jenis Lee-Enfield SMLE yang digunakan oleh tentera British. Mereka diberikan juga pisau bayonet dan 24 butir peluru. Hanya sebilangan daripada mereka diberikan bom tangan dan pasukan ini tidak diberikan mesingan. Latihan yang diberikan amat ringkas sekalid an hanya mengambil masa 10 hari. Anggota wanita ditugaskan untuk tugasan perubatan awal, memasak dan juga sebagai penyampai mesej semboyan dan lain-lain tugasan ringan.

Ramai anggota Dalforce merasakan kepimpinan Tentera British tidak bersikap adil kerana unit-unit pasukan Tentera British, Askar Melayu, Tentera Australia, pasukan Gurkha malahan Tentera MPAJA (Malayan People's Anti-Japanese Army) diberikan kelengkapan yang lebih baik berbanding dengan kelengkapan yang diberikan kepada Dalforce. Tetapi mereka menahan rasa kerana motif utama mereka adalah untuk menahan kemaraan askar Jepun.

Dalforce berjuang di Bukit Timah, Woodlands dan di kawasan pantai Selat Johor. Pertembungan pertama mereka berlaku apabila pasukan askar Jepun cuba menyeberangi Selat Johor dengan perahu-perahu kecil di waktu malam. Kawasan itu telah diletakkan petroleum oleh askar-askar British dan India pada hari-hari sebelumnya. Apabila perahu-perahu kecil yang digunakan askar Jepun melalui kawasan yang dicurahkan minyak petroleum tadi, askar-askar Dalforce menyalakan petroleum menyebabkan ramai askar Jepun mati terbakar. Askar Jepun yang terselamat cuba melarikan diri tetapi diburu oleh askar-askar Dalforce. Walaupun demikian, hanya 3 daripada 20 orang askar Dalforce terselamat. Akibatnya, askar-askar Jepun membenci askar-askar Dalforce dan menggunakan dendam ke atas askar Dalforce untuk melakukan kekejaman ke atas rakyat bangsa cina di Singapura.